JDT-REPUTASI UNGGUL, PENGHARGAAN LEGENDA DAN MEREALISASIKAN KEINGINAN.
Memasuki gerbang bulan Ogos 2024. Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan kedudukan di persada Liga Super Malaysia 2024-25 dengan 22 mata serta berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala FA 2024 pada Sabtu, 24 Ogos 2024 kelak.
Selain itu, kehadiran bulan Ogos 2024 juga disambut dengan beberapa perkara menarik melibatkan Keluarga JDT antaranya;
LEDAKAN GOL KE-125 DAN HATRIK KE-10 SEJAK 2021 BERGSON DA SILVA
Bergson da Silva tampil sebagai pemain paling ‘tajam’ buat Harimau Selatan apabila berjaya menghasilkan jaringan hatrik kedua musim ini dan hatrik ke-10 peribadi sejak 2021 ketika menewaskan Kedah Darul Aman FC 6-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dalam aksi kelapan (LS8) Liga Super Malaysia 2024-25.
Dengan tiga jaringan yang dihasilkan, Bergson telah mengumpulkan 11 gol musim ini dan 125 jaringan secara kumulatif sejak menyarung jersi Harimau Selatan pada 2 Mac 2021. Menyelongkar retrospeksi, pemain prolifik berusia 34 tahun itu pada mulanya hadir sebagai pemain pinjaman sebelum ditandatangani secara tetap pada 20 Mei 2021. Beliau telah menjaringkan debut gol untuk JDT pada 13 Mac 2021 ketika menewaskan UiTM FC 0-4 di Stadium UiTM, Shah Alam.
ORGANISASI JDT SENTIASA MENGENANG INDIVIDU YANG BERJASA
Sekitar 9 Ogos 2024, sebelum sepak mula perlawanan LS8, satu majlis khas dianjurkan untuk bekas pemain JDT, S. Kunanlan sebagai tanda apresiasi terhadap jasa beliau sepanjang berkhidmat bersama skuad Harimau Selatan. Untuk rekod, bermula musim 2015 sehingga 2023, Kunanlan telah membuat penampilan sebanyak 196 kali dan merangkul 25 trofi bersama JDT.
Secara konseptualnya, organisasi JDT tidak pernah melupakan jasa mana-mana individu yang pernah menabur bakti sepanjang perjalanan JDT. Tanpa berselindung pemilik JDT, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor telah menyatakan bahawa individu yang pernah menabur bakti dalam organisasi ini akan sentiasa berdampingan dengan setiap kejayaan-kejayaan JDT.
Imbas kembali antara pemain yang menerima pengiktirafan dan diangkat sebagai legenda JDT ialah Luciano Figueroa pada 22 September 2020 dan Safee Sali pada 25 Februari 2023.
JDT RACING DAN JDT FUTSAL CIPTA SEJARAH BAHARU
Satu lagi sejarah spektakular tercipta! JDT Futsal sah dinobatkan sebagai juara baharu Liga Premier Futsal Malaysia 2024 (MPFL) Divisyen 1. Tidak stagnasi disitu, kejayaan menjulang trofi kejohanan utama arena futsal tanah air itu dilengkapkan dengan pemain pivot JDT Futsal iaitu Mohd Firdaus Ambiah diangkat sebagai Pemain Terbaik MPFL 2024 manakala Aiman Fikry Ramli pula Penjaga Gol Terbaik MPFL 2024.
Imbas kembali, pada musim 2023, JDT Futsal tidak berjaya mendakap sebarang trofi yang dipertandingkan apabila hanya muncul sebagai Naib Juara Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) musim 2023 dan Naib Juara Piala Futsal Malaysia (MFC) 2023.
29 Februari 2024, JDT Racing Team yang diumumkan akan bertanding di Asia Road Racing Championship (ARRC) 2024 telah menyasarkan bersaing dalam peringkat lebih tinggi iaitu Kejohanan Superbike World Championship (WSBK). Beberapa bulan selepas itu, segala sasaran dicapai lebih awal dari jangkaan setelah JDT Racing diberikan tiket ‘wild card’ untuk menyertai Kejohanan WSBK di Litar Portimao, Portugal dari 9 hingga 11 Ogos 2024.
Situasi terkini dalam Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024 pula, Hafizh Syahrin Abdullah (JDT Racing Team) di kedudukan kedua kategori kategori Pelumba Asian Superbike 1000 (ASB1000) apabila mengumpul 110 mata secara keseluruhan.
Akhir kata, untuk perlawanan liga seterusnya JDT akan meneruskan perlawanan kesembilan (LS9) Liga Super Malaysia 2024-25 pada Sabtu, 17 Ogos 2024 pukul 9.00 malam menentang Perak FC di Stadium Perak, Ipoh.
Luaskan Kuasamu Johor!